Thursday, June 23, 2016

RANCANG KEWANGAN ANDA - Bahagian 3

Alhamdulillah.... Allah masih beri keizinan untuk saya kongsikan sedikit ilmu yang saya belajar semasa SeminarBMW awal bulan Jun 2016. Dalam Bahagian 2, saya ada ceritakan yang duit lebihan sebanyak 30% daripada gaji kita tu kita boleh pecahkan kepada 3 bahagian iaitu

  1. 10% untuk simpanan;
  2. 10% untuk perlindungan; dan
  3. 10% untuk pelaburan.


Sebelum ini kita dah cerita tentang simpanan so dalam entri kali ini kita fokus kepada PERLINDUNGAN pula. Soalan - Apa yang kita lindungi sebenarnya dan dari apa kita buat perlindungan? Jawapannya - kita ambil perlindungan tu untuk lindungi pendapatan (income protection & debt settlement) dan aset kita (asset preservation) dalam keadaan berlakunya 3D terhadap diri kita lebih-lebih lagi jika anda adalah tunggak keluarga yang mana andalah sumber keluarga anda menjana kewangan. Oh ya... 3D tu adalah Death (kematian), Disability (kecacatan) dan Disease (penyakit). 

Sayangi keluarga anda semasa keadaan senang & mencabar.
Gambar di dalam Menara Condong, Teluk Intan (2015)


Bila berlakunya 3D tu, kita tak dapat lagi bekerja seterusnya menyebabkan pendapatan keluarga anda tergendala. Tanpa pendapatan anda (dan keluarga anda) tak ada cukup cashflow untuk berbelanja & bayar hutang-hutang yang anda tinggalkan khususnya selepas kematian anda. Saya bukanlah mendoakan agar anda cepat mati, tapi apa yang pasti adalah kematian tu akan tiba. Jadi tak salah kan kita bersiap sedia?

Soalan - Tapi kita kan ada simpanan berjumlah 3 - 6 bulan gaji seperti yang kita ceritakan dalam Bahagian 2 sebelum ini? Jawapannya - BETUL! Tapi pada pandangan anda, berapa lamakah wang simpanan tu dapat bertahan membantu perbelanjaan keluarga anda bila berlakunya 3D tadi? Jawapannya sudah pastilah 3 - 6 bulan bukan? So apa akan jadi kepada keluarga anda pada bulan ke-7 dan seterusnya? Sudah pasti mereka akan menghadapi masalah dan bebanan kewangan selepas itu lebih-lebih lagi jika amalan perbelanjaan selepas 3D adalah masih sama sebelum berlakunya 3D tersebut.

Jadi apa yang perlu kita buat? Haaa..... di sinilah wujudnya keperluan kita dapatkan perlindungan bagi pendapatan dan aset kita. Maknanya jika berlaku 3D, anda dan/atau keluarga anda akan ada pendapatan gantian untuk satu tempoh yang panjang bagi meneruskan perbelanjaan harian keluarga dan hutang-hutang anda semasa membeli aset akan dapat dilangsaikan tanpa perlu membebankan ahli keluarga anda. Pada masa ini tools yang ada bagi tujuan perlindungan ini adalah dengan mendapatkan perlindungan TAKAFUL.

Penceramah memberikan beberapa tips yang boleh dijadikan panduan semasa mendapatkan pelan perlindungan anda...

Tips #1 - income protection boleh didapati melalui pembelian TAKAFUL NYAWA. dan asset preservation boleh dibuat dengan mendapatkan MEDICAL CARD. Cuma pastikan coverage Takaful Nyawa anda bernilai sekurang-kurangnya 10 tahun gaji anda. Kalau gaji anda RM2000 sebulan, maknanya pastikan Takaful Nyawa anda bernilai RM240,000. So, dalam keadaan berlakunya kematian, keluarga tersayang masih mempunyai cashflow bulanan untuk tempoh 10 tahun. 

Tips #2 - cuba dapatkan jumlah CARUMAN TERENDAH untuk nilai COVERAGE TERTINGGI. Jumlah caruman bulanan tersebut pula janganlah melebihi 10% daripada nilai gaji anda. 

Tips #3 - FOKUS terhadap perlindungan kepada income protection & asset preservation sahaja. Kebiasaannya ejen insuran akan turut menawarkan pelan simpanan dan pelbagai bentuk rider lain bersama-sama pelan Takaful Nyawa & Medical Card tersebut. Sebagai kesannya, nilai perlindungan yang diperoleh untuk Takaful Nyawa & Medical Card yang dicarum mungkin berkurangan.

Tips #4 - Untuk perlindungan melalui Medical Card, lihat kepada ANNUAL PROTECTION berbanding Lifetime Protection. Tengok berapa jumlah coverage tahunan yang ditawarkan & pastikan ia cukup besar untuk cover perbelanjaan hospital jika perlu dimasukkan ke hospital.

Tips #5 - Jika anda turut mengambil perlindungan untuk anak-anak atau isteri-isteri yang tidak bekerja, FOKUS kepada Medical Card sahaja. Sebabnya? Kita kembali kepada fungsi sebenar kita ambil takaful ini adalah untuk melindungi pendapatan keluarga & mengekalkan aset keluarga. Sekiranya sumber pendapatan keluarga hanya dijana daripada Suami / Isteri, maka perlindungannya adalah berkisarkan kepada fakta siapa yang menjadi sumber pendapatan tersebut.

Tips #6 - Ambillah perlindungan ini SEAWAL mungkin. Maknanya.... mulakanlah masa anda masih muda sebab nilai carumannya lebih rendah berbanding yang lebih berumur. Kalau ikut tuan penceramah, masa terbaik ambil Takaful adalah 120 hari sebelum kita sakit atau mati. Tapi, sapa yang boleh tahu bila kita akan sakit atau mati kan?? Jadi, eloklah bermula seawal mungkin.

Oh ya.... untuk makluman semua, saya bukanlah ejen kepada mana-mana syarikat Takaful & saya tidaklah menjual apa-apa jenis takaful. Cuma apa yang diceritakan adalah sedikit ilmu yang ditimba dan dirasakan elok saya kongsikan kepada anda lebih-lebih lagi jika anda masih muda. Bolehlah dijadikan panduan hidup di samping semoga menjadi amal jariah kepada saya.... amin.

Cukup dulu setakat ini... saya akan kongsikan bahagian terakhir dalam entri akan datang tentang 10% terakhir iaitu untuk tujuan pelaburan. Tunggu ye!! :-)     

Wednesday, June 22, 2016

RANCANG KEWANGAN ANDA - Bahagian 2

Apabila kita dah tahu status semasa kewangan kita seperti dibincang dalam Bahagian 1 dahulu, barulah tindakan selanjutnya boleh kita rancang sama ada untuk jangka masa sederhana atau panjang. Tapi, Rule #1 adalah pastikan ADA LEBIHAN dalam cashflow kita. Kalau tak ada lebihan kena berusaha untuk wujudkan lebihan tersebut. Macam penceramah tu kata, kita tak boleh nak kawal ekonomi dunia tapi kita boleh kawal perbelanjaan kita. Mengikut Model INFAQ, kita mesti ada 30% lebihan bagi menjayakan pelan kewangan kita.

Apa nak buat dengan lebihan 30% tuh? Penceramah tu mencadangkan agar ia dipecahkan untuk 3 perkara:-

  1. 10% untuk simpanan;
  2. 10% untuk perlindungan; dan
  3. 10% untuk pelaburan.


Dalam entri kali ni, saya share sikit pasal pelan yang pertama iaitu SIMPANAN. Ikut kata penceramah lagi, ciri-ciri simpanan ni ada 2 iaitu (1) tiada risiko i.e. no charge & no risk; dan (2) mudah dicairkan i.e. liquid. Kalau ada satu je maknanya bukan simpanan la tu. Mungkin dah jadi pelaburan.

Sekadar hiasan - Rancang kewangan anda agar tidak pening kepala.
Gambar diambil di Lapangan Terbang Brussel, Belgium (2015)


Kalau kita ingat dari kita masih kecil lagi, semua orang di sekeliling kita pesan kat kita "kalau ada duit lebih tu simpan-simpanlah". So, dalam menyimpan ni, ada beberapa strategi yang kena kita buat. 

Strategi #1 - pastikan jumlah simpanan kita adalah bernilai antara 3 - 6 BULAN GAJI kita. Kalau gaji bulanan kita RM2000, maknanya target kita adalah untuk ada sekurang-kurangnya RM6000 - RM12000 dalam simpanan. Kenapa kena ada simpanan? Hmmm.... jawapan saya mudah je. Buat dulu simpanan tu sampai cukup target tu nanti kita tahulah nak buat apa dengan duit tu. Kan lagi senang nak buat plan kalau ada duit berbanding tak ada duit kan?  

Strategi #2 - kita kena simpan SEBELUM kita mula belanja & BUKAN simpan bila ada lebihan wang. Maknanya, bila kita dapat income sama ada berbentuk gaji, bonus RM500 atau 1.5 bulan gaji, duit sewa rumah, duit orang derma kat akaun kita (kalau ada la...) atau apa sahaja income, kita simpan siap-siap 10% daripada nilai tuh. Bila dah simpan tu barulah kita boleh belanja....

Strategi #3 - cuba amalkan pendekatan "SIMPAN & LUPA" dan JANGAN amalkan pendekatan "parking". Apa bezanya? Simpan & Lupa tu maknanya kita simpan dalam satu akaun dan biarkan duit simpanan kita tu duduk kat situ biar pun ribut & taufan melanda. Parking tu pulak kita simpan duit "simpanan" kat satu akaun tapi dalam keadaan tertentu kita akan keluarkan juga (contohnya nak belanja untuk beli kuih raya.... contoh~).

Tuan penceramah bagi tips macam mana nak buat kaedah simpan & lupa ni.... cuba ambil pendekatan nih:-

  • Buka buku akaun baru dengan bank yang susah nak jumpa.
  • Jangan subscribe perkhidmatan internet banking atau kad ATM untuk akaun yang dibuka tadi.
  • Buat standing order/instruction kepada bank yang mana gaji anda dimasukkan supaya masukkan 10% ke dalam akaun baru yang dibuka tadi secara automatik. Jadi anda pun tak perasan duit tu diasingkan sebagai simpanan anda.


Strategi #4 - cuba KEKALKAN GAYA HIDUP sebelum anda menerima kenaikan gaji. Jadi, jika anda diberikan rezeki kenaikan gaji, maka bolehlah anda simpan semua jumlah kenaikan gaji tersebut sebagai simpanan untuk mempercepatkan tercapainya sasaran simpanan anda.

Rasanya cukup dulu bab simpanan ni. Bagi yang dah cukup simpanan tu alhamdulillah... dan bagi yang belum ada atau belum cukup simpanan tu, kita mulakanlah simpanan tu. It's never too late!

Dalam entri akan datang saya akan kongsikan tentang baki 20% dari wang lebihan tadi iaitu bab perlindungan dan pelaburan pula. Harap-harap entri kali ini dapat sedikit sebanyak bermanfaat untuk kalian.... Selamat berpuasa dan selamat beramal semua!  

Tuesday, June 21, 2016

RANCANG KEWANGAN ANDA - Bahagian 1

Saya berpeluang menghadiri Seminar Bijak Merancang Wang (SeminarBMW) anjuran INFAQ Consultancy pada 9 Jun 2016. Walaupun hanya seminar 1 hari, banyak perkara yang boleh dipelajari. Di sini saya kongsikan serba sedikit info yang didapati untuk pembelajaran kita bersama...
  1. Tetapkan matlamat kewangan anda - tentukan secara jelas apa yang anda mahukan dari perspektif kewangan dalam tempoh sederhana dan jangka panjang. Tak salah berangan-angan sebab ia percuma! Cuma pastikan ia menjadi penggerak (driver) untuk anda mencapai matlamat kewangan anda.
  2. Kenalpasti kedudukan semasa kewangan anda - Ambil tahu 2 perkara asas dalam portfolio kewangan anda iaitu (1) aliran tunai atau cashflow, dan (2) nilai aset bersih atau nettworth anda. 

  • Ambil masa untuk duduk bersama pasangan sah anda (jika ada... hehehe) dan catat pendapatan & perbelanjaan kalian. Daripada situ anda akan tahu berapa aliran tunai anda sama ada lebih, cukup-cukup atau kurang. Jika cukup-cukup atau kurang, gerakkan "pelan menyelamat" anda bagi memastikan di setiap akhir bulan aliran tunai anda adalah lebih atau positif. Ini bagi membolehkan aktiviti memantapkan kewangan dimulakan kelak iaitu dengan mula membuat simpanan.
  • Pihak INFAQ Consultancy mencadangkan model 30-30-30-10 bagi kawalan perbelanjaan bulanan kita. Daripada kesemua pendapatan kita, 30% digunakan untuk belanja isi rumah, 30% untuk bayar hutang, 30% untuk simpanan, pelaburan atau perlindungan; manakala 10% lagi untuk pemberian & penyucian harta.
sumber : INFAQ Consultancy

  • Ambil masa juga untuk kenalpasti berapa nilai aset bersih (nettworth) kalian. Nettworth ni diperlukan bagi melihat berapa banyak aset yang korang ada sebagai medium sokongan  untuk dicairkan sekiranya aliran pendapatan anda terganggu. Lebih banyak aset cair adalah lebih baik. Aset cair ni maknanya aset yang mudah ditukar kepada bentuk duit dalam tempoh yang pendek dalam 1-3 hari. Aset terdiri daripada Simpanan (contohnya tunai, simpanan bank, Tabung Haji dan ASN/ASB), Pelaburan (seperti rumah, emas, saham dan hartanah) dan Lain-lain (contohnya kereta dan KWSP).
  • Mengikut pandangan penceramah, aset cair kita mesti bernilai sekurang-kurangnya 3 bulan gaji kita. Manakala nilai liabiliti kita hendaklah berada dalam tahap nilai 3 tahun gaji kita. Jika nilai liabiliti kita berada antara 3 hingga 5 tahun gaji maka kita berada dalam tahap berhati-hati. Jika lebih 5 tahun maknanya kita berada dalam kedudukan kewangan yang MERBAHAYA!

Dah tahu status kedudukan semasa kewangan anda? Bila dah tahu, apa yang boleh kita buat untuk mantapkan kewangan kita? Saya akan sambung dalam entry yang akan datang... TUNGGU!